Hanis Aliaa Hidzir

Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat penuh milik MNRB Holdings Berhad (MNRB) baru-baru ini melancarkan produk takaful perjalanan terbaharunya, IKHLAS Secure Travel Takaful di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Bertam, Pulau Pinang.

Pelancaran produk ini disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di ruang pameran Takaful IKHLAS.

Majlis itu turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.

Menurutnya produk terbaru ini dirancang untuk membolehkan masyarakat menikmati percutian dengan penuh ketenangan, sama ada di destinasi domestik mahupun luar negara.

Katanya, melancong atau bercuti secara domestik atau antarabangsa adalah antara aktiviti yang digemari oleh masyarakat untuk beristirehat serta melapangkan fikiran.

"Bagi memastikan perjalanan lebih tenang serta dilindungi sekiranya berlaku kesulitan semasa bercuti, Takaful IKHLAS kini menawarkan pelan takaful perjalanan yang komprehensif iaitu IKHLAS Secure Travel Takaful," katanya.

Melalui pelan ini, Takaful IKHLAS menjalinkan kerjasama dengan rangkaian perjalanan dan perubatan di seluruh dunia untuk memastikan pelanggan sentiasa dilindungi di mana saja destinasi percutian mereka.

Takaful IKHLAS juga menawarkan rangkaian perubatan terkemuka di Makkah dan Madinah buat jemaah haji dan umrah yang melanggan pelan takaful perjalanan ini.

IKHLAS Secure Travel Takaful menawarkan pelbagai manfaat menyeluruh termasuk perlindungan pembatalan atau gangguan percutian, kehilangan bagasi, bantuan perubatan kecemasan, badal haji, serta bantuan perjalanan dan kesihatan 24 jam, termasuk perkhidmatan ambulan udara.

Bagi penggemar aktiviti lasak, mereka juga boleh mendapatkan perlindungan tambahan.

"Kami berharap agar masyarakat lebih peka akan kepentingan perlindungan takaful perjalanan semasa merancang percutian mereka. Ianya tidak boleh dipandang remeh kerana risiko berlakunya perkara yang tidak diingini semasa sedang bercuti sentiasa ada," katanya.

IKHLAS Secure Travel Takaful boleh dilanggan secara atas talian di laman sesawang rasmi Takaful IKHLAS serta melalui Wakil Perunding Takaful IKHLAS di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada promosi produk Takaful IKHLAS sempena MSAM 2023, orang ramai berpeluang memenangi hadiah Cabutan Rezeki IKHLAS berupa barangan elektronik, gajet, dan sijil simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang bernilai lebih RM27,000 apabila mereka menyertai mana-mana pelan perlindungan takaful keluarga.

Bagi yang berminat untuk menjadi Perunding Takaful Keluarga bersama Takaful IKHLAS, mereka boleh mendaftar dan berpeluang memenangi tiket percutian ke Bandung, Indonesia.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai kuiz yang dianjurkan melalui laman media sosial rasmi Takaful IKHLAS untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti Takaful IKHLAS sempena MSAM 2023, ikuti laman Takaful IKHLAS di Instagram dan Facebook atau layari www.takaful-ikhlas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:51 PM