Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Berhad (Takaful Ikhlas) meraih pengiktirafan Pengendali Takaful Terbaik Malaysia 2015 yang berprestij daripada Global Banking & Finance Review buat kali kedua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar berkata, anugerah terbabit membuktikan bahawa produk Takaful Ikhlas adalah setanding dengan syarikat pengendali takaful terkemuka di Malaysia.

Katanya, sejak 13 tahun yang lalu, syarikat berjaya mengukuhkan kehadirannya dalam menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan Islam berasaskan konsep Takaful yang menekankan semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam kalangan pesertanya.

“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini dan anugerah ini dapat mengukuhkan lagi keyakinan pelanggan terhadap kami. Pada hari ini, reputasi kami di pasaran Malaysia sudah diiktiraf sebagai satu jenama dinamik dan terbaik yang dikenali ramai.

“Saya yakin anugerah ini akan memberi dorongan kepada lebih 400 kakitangan dan 5,000 ejen kami untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Global Banking & Finance Review adalah portal dalam talian yang dibaca oleh 200 negara berbeza, manakala The Global Banking and Finance Review Awards diwujudkan bagi mengiktiraf syarikat dari pelbagai saiz yang menonjol dalam bidang kepakaran dan kecemerlangan tertentu khususnya komuniti kewangan global.

Anugerah ini dikenali dalam seluruh komuniti perbankan dan kewangan global serta melambangkan inovasi, pencapaian, strategi, perubahan progresif dan inspirasi yang berlaku dalam sektor kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:11 AM