Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Eddy Azly Abidin (berdiri kanan) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ke kaunter Takaful Ikhlas selepas Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di pekarangan Amanjaya Mall. FOTO BERNAMA
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Eddy Azly Abidin (berdiri kanan) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ke kaunter Takaful Ikhlas selepas Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di pekarangan Amanjaya Mall. FOTO BERNAMA
Nor Farhani Che Ad


PEMEGANG polisi pelan perlindungan Takaful Ikhlas kini bukan saja dilindungi malah berpeluang membantu masyarakat menerusi 'IKHLAS Waqf dan Endowment' (IWE) yang dilancarkan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Eddy Azly Abidin berkata, IWE diberikan secara percuma kepada peserta yang menyertai pelan perlindungan individu takaful am Takaful Ikhlas.

"Bermula 1 April lalu, pihak syarikat memperuntukkan RM1,000 di atas nama peserta untuk sumbangan wakaf atau endowmen kepada institusi yang diiktiraf dan dipilih bagi setiap sijil takaful am individu.

"Ia sebagai platform untuk peserta membantu masyarakat melalui peruntukan wakaf atau endowmen apabila peserta meninggal dunia akibat kemalangan," katanya pada sidang media di Sungai Petani, hari ini.

Menurutnya, IWE adalah suatu nilai tambah unik yang akan terus meningkatkan posisi jenama Takaful Ikhlas dan memberi lebih daripada perlindungan takaful.

"Dengan adanya wakaf atau endowmen ini, ia menjadikan perlindungan yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas lebih lengkap dan komprehensif," katanya.

Eddy berkata, antara produk individu takaful am yang menawarkan IWE adalah IKHLAS Takaful kenderaan, IKHLAS Takaful Kediaman atau IKHLAS Takaful Kemalangan Peribadi.

Katanya, pemegang polisi juga boleh menambah jumlah wakaf atau endowmen dengan menyertai pelan perlindungan Kemalangan Peribadi yang memperuntukkan sehingga 30 peratus daripada manfaat kematian kepada institusi wakaf atau endowmen yang terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:14 PM