Ruang tamu antara kediaman rumah yang sering digunakan kerana disitulah tempat ahli keluarga berbual dan beristirhat.

Tidak dinafikan ia perlu dihias dengan sempurna. Bagi mereka yang ingin cita rasa berbeza dan mahu lari daripada kebiasaan menggunakan hamparan permaidani, tikar sesuai sebagai alternatif.

Antara dicadangkan, tikar kelasah atau turut dikenali dengan tikar kulit kayu yang lebih mudah dijaga selain mempunyai nilai estetika.

Tikar kelasah adalah produk yang dihasil­kan suku kaum Bidayuh. Malah masyarakat Bidayuh di Kampung Jagoi, Serikin, Sarawak antara terawal menjual hasil kraf tangan tikar kelasah di Pasar Serikin.

Kulit kayu sebagai material diambil daripada pokok bayuh sementara rotan yang digunakan ialah daripada rotan saga putih dan rotan saga emas.

Ia diperoleh daripada penduduk kampung di sekitar kawasan Stass, Serasot, Sebobog dan Bogar.

Bagi menghasilkan tikar ini, bilah rotan dianyam berselang-seli ­dengan kulit kayu.

Kebiasaannya tikar kelasah yang dihasilkan dianyam menggunakan tangan dan kaki.

Ia menggunakan bahan semua jadi, malah pewarna yang diguna pada rotan dianyam daripada rendaman daun pokok rambutan selama beberapa minggu hingga menghasilkan warna hitam.

Pada zaman dulu, tikar kelasah digunakan sebagai alas untuk menjemur hasil pertanian termasuk padi dan lada hitam.

Pada sebelah malam pula, mereka menjadikan tikar kelasah sebagai pelapik tempat tidur.

Tikar ini dihampar di beranda rumah ketika kaum Bidayuh menyambut perayaan atau majlis keramaian.

Menerusi motif geometri, tulisan, masjid, terabai, tempayan, bintang dan rama-rama, penggunaan tikar kelasah diperluaskan sebagai hiasan dinding, lapik meja tamu dan perhiasan lantai di ruang tamu.

Tikar ini semakin berkilat jika banyak terkena air atau dilap dengan kain basah.

Tikar itu mampu bertahan lebih 20 tahun dan berharga antara RM80 hingga RM800.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:00 AM