Bukit Mertajam: Kira-kira 400 petugas media dalam dan luar negara terbabit membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Jumlah itu adalah berdasarkan bilangan petugas media yang telah mendaftar dengan Jabatan Penerangan sehingga kini, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman, di sini.

“Bilangan itu adalah antara yang teramai pernah terbabit dalam pilihan raya kecil dan kami jangka jumlah itu akan bertambah,” katanya selepas merasmikan Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini.

Pusat media yang terletak di Kolej Komuniti Seberang Jaya, di sini, dilengkapi bilik media dengan kemudahan Internet dan komputer serta petugas yang membantu media mendapatkan maklumat tambahan.

Ibrahim berkata, semua petugas media dan petugas agensi kerajaan boleh menggunakan pusat media itu yang memulakan operasi semalam.

“Kami buka pusat media itu mengikut keperluan dan saya harap kemudahan yang disediakan mencukupi untuk media gunakan sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh,” katanya.

Sementara itu, katanya, 120 petugas Jabatan Penerangan akan bertugas sepanjang PRK Parlimen Permatang Pauh dengan lima petugas ditempatkan di setiap daerah mengundi.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Mei ini sebagai hari pengundian bagi PRK itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 8:58 PM