BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 627 pemilih terdiri daripada anggota polis serta pasangan mereka akan terlibat dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Ahad ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pengundian awal itu akan diadakan di dua pusat mengundi yang dibuka dari 8 pagi sehingga 5 petang.

Pusat mengundi terbabit ialah Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dan Berek Kelamin, Balai Polis Kubang Semang.

Pusat mengundi di Berek Kelamin akan ditutup pada 2 petang.

"Pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

"Selain itu, pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang dilantik SPR boleh memerhati proses itu dengan kebenaran masuk ke pusat pengundian daripada pihak Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, dakwat pilihan raya akan digunakan bagi proses pengundian dan akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan petugas SPR.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 1:45 PM