Bukit Mertajam: Pengarah Pilihan Paya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata jentera kempen parti itu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh kini bergerak sepenuhnya dengan kehadiran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP).

Beliau berkata, tumpuan parti itu kini adalah pada urusan pilihan raya kecil itu, sekali gus memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Segala permasalahan berbangkit telah selesai pagi ini apabila halangan kerana boikot Pemuda PAS itu telah ditamatkan dan mereka akan mengisi ruang-ruang sedia ada dalam jentera iaitu jentera Pemuda.

“Keyakinan jentera pembantu daripada PAS ini akan memberi bantuan yang sebaik mungkin bagi memastikan calon Pakatan Rakyat mencapai kejayaan lebih baik daripada pilihan raya umum ke-13. Kita menganggap episod ini sudah tamat dan kita akan teruskan gerak kerja kita seperti yang diamanahkan,” katanya pada sidang media harian PKR sempena PRK Permatang Pauh, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Dr Wan Azizah, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution, anggota Parlimen (MP) Bayan Baru Sim Tze Tzin dan MP Bukit Mertajam Steven Sim.

DPPNPP hari ini membatalkan hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh, namun masih mahu Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri memohon maaf berhubung kenyataan mereka memfitnah pimpinan PAS berhubung hukum hudud.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Md Piah berkata keputusan itu diambil selepas menghadiri mesyuarat tergempar antara DPPNPP dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ir Khairil Nizam Khirudin, lewat malam Selasa.

Ditanya sama ada Mohd Yusni akan dikenakan tindakan disiplin berikutan tindakan memboikot kempen Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil itu, Mohd Hatta berkata: “Tidak timbul masalah tatatertib. Urusan parti tidak ada kaitan dengan pilihan raya.”

Pada 26 April lepas, DPPNPP membuat keputusan agar semua jentera dan petugas Pemuda PAS negeri direhatkan daripada semua gerak kerja sepanjang kempen PRK Permatang Pauh bagi memprotes pendirian AMK Pulau Pinang terhadap desakan Pemuda PAS negeri agar memohon maaf atas kelantangan mereka terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ditanya sama ada AMK negeri akan memohon maaf kepada DPPNPP atas kelantangan mereka terhadap Abdul Hadi, Dr Wan Azizah berkata semua sudah selesai dan tidak timbul lagi isu permohonan maaf itu.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah, Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 7 Mei. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:20 PM