Georgetown: Sejumlah 24 daripada 35 buah sekolah di Permatang Pauh akan dijadikan pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Fauzi Omar berkata, lapan daripadanya ialah sekolah menengah manakala selebihnya sekolah rendah dan sekolah jenis kebangsaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak lapan sekolah masing-masing terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya, DUN Permatang Pasir dan DUN Penanti.

“Sekolah terlibat akan bercuti pada hari berkenaan dan hari persekolahan gantian tidak semestinya dibuat pada hari Sabtu minggu yang sama...terpulang kepada keperluan semasa pengurusan sekolah.

“Wakil pihak berkaitan telah melawat sekolah yang akan dijadikan pusat pembuangan undi itu dan surat pekeliling mengenainya telah diedarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 6:45 PM