BUKIT MERTAJAM: Anggota dan penyokong PAS di kawasan Permatang Pauh akan memprotes secara senyap terhadap calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.

Ketua Penerangan PAS kawasan Bagan, Azmi Jaafar dan Timbalan Yang Dipertua PAS Bagan, Mohd Yusuf Khazali mengesahkan rakan-rakan mereka di Permatang Pauh tidak akan keluar mengundi, dan sekiranya ke pusat pengundian, mereka akan merosakkan undi itu.

Azmi berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan maklum balas dan pertemuan pihaknya dengan anggota dan penyokong PAS di kawasan Permatang Pauh selepas penamaan calon 25 April lalu.

"Lebih 10,000 anggota dan penyokong PAS yang juga pemilih di Parlimen Permatang Pauh tidak akan mengundi individu yang biadab dan menghina ketua kami (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) serta agama Islam. Untuk apa kami pangkah PKR, mereka tidak akan menyokong hudud di Parlimen.

"Kalau ada orang (PAS) yang keluar mengundi, mereka akan rosakkan undi. Jangan main-main, ini adalah amaran kepada PKR dan Wan Azizah," katanya.

Sebelum itu, Azmi dan 50 anggota PAS mengadakan perhimpunan di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama di sini, hari ini, dengan membawa sepanduk yang antaranya bertulis "DAP jangan biadab, "Hudud hukum Allah" dan "Kami sokong tok guru presiden" serta melaungkan takbir "Hidup PAS" dan "Hancur PKR".

Perhimpunan anjuran PAS Bahagian Bagan itu bertujuan menggesa PKR menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak rang rang undang-undang persendirian yang akan dibawa Presiden PAS di Parlimen.

Azmi berkata, akar umbi PAS di Permatang Pauh juga tidak setuju dengan tindakan PAS Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang membatalkan hasrat memboikot PRK Permatang Pauh dan menyokong Wan Azizah kerana ia merendahkan imej parti itu.

Sementara itu, Mohd Yusuf berkata, tindakan dan kenyataan mereka hari ini adalah kenyataan anggota di peringkat akar umbi yang marah serta kecewa dengan tindakan pemimpin tertentu dalam PAS.

"Ini adalah kenyataan anggota akar umbi dan kuasa di tangan pengundi dalam PRK ini, mereka yang memilih calon pada PRK kali ini. Pemimpin sepatutnya dengar luahan kami, lagi pun keputusan sebelum ini (batal boikot) adalah antara pemimpin dan bukan anggota sendiri," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian pada 7 Mei ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 6:53 PM