Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam usaha mencegah berlaku sebarang kejadian tidak diingini pada perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak, malam ini.

Setiausaha PAFA Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, pihaknya sudah meminta polis menggandakan kawalan serta menambah anggota bagi bertugas di stadium.

Tindakan PAFA itu berikutan insiden menyembur cat ke atas bas pasukan serta penyokong Johor DT di hotel penginapan serta pergaduhan selepas perlawanan musim lalu hingga memaksa tindakan keras Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terhadap peminat tuan rumah.

“Dua insiden itu mendorong PAFA mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, “katanya.

Namun, Aziz berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas akan berlaku keganasan kali ini.

Apapun beliau menasihatkan penyokong Perak supaya menjaga disiplin serta perilaku dan tidak melakukan provokasi terhadap penyokong lawan.

“Kita satu bangsa. Kenapa perlu bergaduh dan melukakan saudara kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tiga penonton yang memenangi cabutan bertuah sempena pelancaran Program Kad Debit Bank Islam - The Bos Gaurus akan menerima hadiah mereka ketika rehat perlawanan malam ini.

Selain itu, beliau berkata, 10 pengunjung bertuah Festival Belia Perak bermula semalam di Kompleks Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) menerima tiket percuma menyaksikan perlawanan itu.

“Ini urusan Jabatan Belia dan Sukan. PAFA tidak campur tangan. Kami hanya membantu menjayakan program ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penonton kawasan parkir kereta di depan kompleks itu ditutup dan berharap orang ramai meletak kenderaan di tempat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 11:42 AM