SEORANG penyokong yang dipercayai terkena mercun di pekarangan Stadium Perak selepas perlawanan antara Perak menentang Johor DT. -Foto MUHAIZAN YAHYA
SEORANG penyokong yang dipercayai terkena mercun di pekarangan Stadium Perak selepas perlawanan antara Perak menentang Johor DT. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim


SETIAUSAHA Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memuji pihak keselamatan kerana berjaya mengawal suasana 'panas' selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dengan Johor Darul Ta'zim(JDT) di Stadium Perak, malam tadi. 

Setiausaha PAFA, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata tindakan pantas pihak keselamatan termasuk 1,500 anggota polis berjaya mengelak berlaku sebarang pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.   

“Tahniah kepada anggota keselamatan serta petugas stadium yang pantas bertindak hingga penyokong Johor DT selamat keluar dari stadium untuk menaiki bas," kata Ahmad Sharul kepada pemberita semasa sidang akhbar.   

Menurut Setiausaha PAFA itu, seramai 300 penyokong JDT dengan lapan buah bas tidak mengalami sebarang masalah untuk meninggalkan Ipoh dengan selamat malam tadi.   

Dia bagaimanapun mengakui berlaku provokasi secara lisan serta baling membaling plastik air antara kedua-dua pihak. 

Mengenai insiden seorang penyokong Johor DT tercedera akibat terkena mercun, Shahrul Azhar berkata ia berlaku di luar stadium. 

Berkenaan dakwaan tujuh penyokong Perak ditahan polis, Shahrul Azhar berkata mereka ditahan bagi mententeramkan keadaan sebelum dibebaskan. 

“Tiada dakwaan terhadap mereka. Polis hanya tahan sementara dan kemudian melepaskan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:39 PM