PENINGKATAN Huawei dipacu oleh pertumbuhan sektor pengguna khususnya telefon pintar. FOTO Gaddafi Musli
PENINGKATAN Huawei dipacu oleh pertumbuhan sektor pengguna khususnya telefon pintar. FOTO Gaddafi Musli
Oleh Gaddafi Musli

Shenzhen (China): Huawei Technologies, gergasi telekomunikasi China sekali lagi mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi 2014 dengan pendapatan sebelum cukai sebanyak CNY288.2 bilion (RM168.78 bilion), meningkat 20.6 peratus berbanding CNY239 bilion (RM140 bilion) tahun sebelumnya.

Naib Presiden Perakaunan Huawei, Fan Chan berkata, peningkatan dipacu oleh pertumbuhan sektor pengguna khususnya telefon pintar.

"Tahun lalu Huawei berjaya menjual sebanyak 75 juta unit telefon pintar berbanding 52 juta unit tahun sebelumnya.

"Ini membuktikan jenama Huawei semakin diminati oleh pengguna peranti pintar di seluruh dunia," katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Penganalisis Global di sini, hari ini.

Katanya lagi, pelaburan berterusan dalam inovasi penyedia rangkaian serta penambahbaikan pengurusan juga menjadi faktor prestasi kewangan yang memberangsangkan.

"Huawei akan terus melabur secara agresif dalam bidang strategik untuk menjadi peneraju dalam bidang telekomunikasi dan menjalin kerjasama rapat dengan rakan niaga, khususnya syarikat penyedia rangkaian di seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 3:24 PM