Kuala Lumpur: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang merancang menaikkan kadar utamanya buat kali pertama sejak 2006 perlu bertindak segera.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, Malaysia sudah bersedia untuk berhadapan pengaliran keluar modal susulan perubahan dasar yang dicadangkan itu.

“Turun naik tidak menentu, tahap serta masanya,” katanya dalam temu bual bersama Bloomberg di Washington yang menyentuh mengenai pengaruh China yang semakin meningkat, dasar monetari dunia dan ringgit.

Zeti berkata, perubahan ‘sudah pun bermula’ menjelang peningkatan kadar, yang mungkin dilaksanakan seawal Jun dan rantau Asia juga berdaya tahan untuk menghadapi sebarang perubahan susulan perubahan dasar Rizab Persekutuan itu.

“Memandangkan (pasaran) kita terbuka, kita terkena impaknya dan kita cepat pulih,” katanya.

Mengenai kadar faedah Malaysia, beliau berkata, ia akamodatif dan kedudukannya kini membolehkan negara mengekalkan kos pinjaman pada paras sedia ada.

Katanya, walaupun pemulihan global ‘sangat kecil dan tidak akan mendorong inflasi’, tekanan harga yang rendah tidak wajar mengekang bank-bank pusat daripada menaikkan kadar faedah bagi mencegah berlakunya ketidakseimbangan.

Beliau berkata, kadar yang akomodatif mencatat paras yang menyokong proses pertumbuhan, faktor yang sangat penting pada masa ini memandangkan tidak ada risiko berlakunya inflasi yang tinggi.

Zeti juga mengulangi bahawa mata wang tempatan, ringgit berada pada paras yang lebih rendah berbanding nilai sebenarnya, dan ia tidak mencerminkan kadar asas ekonomi.

Mengenai Bank Pelaburan Infrastruktur Asia yang diketuai China, beliau berkata, ia tidak wajar dilihat sebagai pencabar Bank Dunia memandangkan Asia mempunyai banyak permintaan untuk infrastruktur.

Ditanya sama ada China mampu mengatasi AS sebagai pemacu sistem kewangan dunia, Zeti berkata, dua atau lebih peneraju dunia lebih baik untuk kestabilan dunia dan Renminbi China mempunyai potensi menjadi mata wang rizab antarabangsa. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 12:49 PM