Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Kebanyakan penganalisis menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada paras semasa 3.00 peratus tahun ini meskipun inflasi berisiko meningkat susulan rasionalisasi subsidi dan pengenalan cukai baharu, kata penganalisis.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan mesyuarat dasarnya yang pertama bagi 2024 pada 22 dan 24 Januari dengan Pernyataan Dasar Monetari akan dikeluarkan pada hari terakhir mesyuarat itu.

Pungutan suara membabitkan 28 ahli ekonomi yang dijalankan Reuters baru-baru ini menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada kadar semasa 3.00 peratus pada mesyuarat pertama MPC tahun ini.

Penganalisis menjangkakan tiada pengurangan atau kenaikan OPR pada tahun ini memandangkan mesyuarat MPC terakhir memperlihatkan BNM mengekalkan nada neutral pada pendirian dasar monetari.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai penentu trend dalam penggubalan dasar monetari pada peringkat global.

Walaupun begitu, beliau berkata, BNM sentiasa akan membuat penilaian berdasarkan kedudukan ekonomi domestik, termasuk analisis kos dan faedah sekiranya mereka mengubah pendirian dasar monetari.

"Buat masa ini, kadar inflasi sudah pun menyusut ke paras 2.6 peratus bagi 11 bulan 2023 berbanding 3.3 peratus pada 2022. Justeru, BNM mempamerkan kredibiliti yang baik dalam mengurus kadar inflasi negara," katanya kepada BH.

Namun, Mohd Afzanizam mengingatkan bahawa risiko kenaikan inflasi pada tahun ini masih lagi jelas ketara, terutama terdapat perubahan dasar seperti rasionalisasi subsidi minyak petrol serta peningkatan cukai perkhidmatan dan pengenalan cukai barangan bernilai rendah.

Beliau berkata, perkara itu jelas kelihatan dengan julat unjuran inflasi yang besar, iaitu sekitar 2.1 peratus sehingga 3.6 peratus pada tahun ini.

"Namun, pada pengamatan kami, BNM sudah pun mempunyai suatu ruang dasar yang mana ia boleh digunakan sekiranya ada keperluan.

"Justeru, perkara ini seharusnya membantu dalam meningkatkan keyakinan bahawa BNM sentiasa menyokong dalam agenda pertumbuhan ekonomi negara dengan memastikan dasar monetari yang akomodatif," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata pihaknya menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus tahun ini meskipun ada prospek penurunan kadar faedah dalam ekonomi maju utama.

Beliau berkata, terdapat kebimbangan risiko kenaikan inflasi tahun ini susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar dan peningkatan dalam cukai berasaskan penggunaan.

"Walaupun terdapat kebimbangan risiko inflasi susulan pelaksanaan subsidi bersasar dan kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus, langkah dalam Belanjawan 2024 juga menyokong pendapatan boleh guna, terutama isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana bagi mengekalkan momentum perbelanjaan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 4:02 PM