Bank Negara Malaysia. - FOTO Reuters
Bank Negara Malaysia. - FOTO Reuters
Reuters

Bengaluru: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengetatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak suku mata untuk kali keempat berturut-turut pada 3 November ini, berikutan risiko kenaikan berterusan inflasi dan bagi menyokong ringgit yang semakin lemah, lapor Reuters dalam satu tinjauan pendapat.

Bank pusat mula menaikkan kadar pada Mei lalu, walaupun inflasi berada dalam julat sasaran 2.0 hingga 3.0 peratus. Sejak itu ia telah menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas (bps) untuk mengawal inflasi.

Pada September, inflasi jatuh sedikit kepada 4.5 peratus, daripada 4.7 peratus pada Ogos, tetapi permintaan domestik yang teguh dan bajet akomodatif menimbulkan risiko.

Semua kecuali dua daripada 27 ahli ekonomi dalam tinjauan pendapat pada 25 hingga 31 Oktober meramalkan bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, daripada 2.50 peratus, dalam mesyuarat pada Khamis.

"Langkah dasar fiskal pada 2023 masih tidak jelas," kata Sanjay Mathur, Ketua Ekonomi ANZ di Asia Tenggara dan India.

"Selain itu, kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan 75 mata asas lagi pada November juga bertambah. Ini tidak memberi petanda baik untuk ringgit, terutamanya apabila rizab antarabangsa juga berada di landasan penurunan yang stabil."

Mata wang tempatan telah jatuh sekitar 12 peratus tahun ini.

Sementara itu, dua ahli ekonomi di Barclays dan UOB masing-masing menjangkakan BNM akan berhenti seketika dalam mesyuarat itu, memandangkan prospek global yang semakin lemah, dan untuk menilai kesan kenaikan terkumpul.

Hampir 90 peratus ahli ekonomi meramalkan bahawa BNM akan menaikkan OPR pada suku pertama 2023 (1Q2023), termasuk dua pakar ekonomi yang meminta 'masa rehat' pada November, memberikan ramalan median sebanyak 3.0 peratus.

Sementara 13 daripada 18 ahli ekonomi meramal kenaikan 25 bps pada suku pertama 2023, manakala tiga ahli berkata 50 bps.

Dua ahli ekonomi meramalkan tiada sebarang pergerakan.

Ramalan median menunjukkan bahawa OPR akan kekal pada 3.0 peratus sehingga sekurang-kurangnya hingga akhir tahun depan.

Bagaimanapun, selepas suku pertama 2023, tujuh pakar ekonomi menjangkakan kadar itu akan naik pada satu ketika pada 2023.

"Memandangkan inflasi teras mendapat momentum, kami terus menjangka BNM akan menaikkan kadar dalam mesyuarat berturut-turut (25 bps bagi setiap mesyuarat) hingga separuh pertama tahun depan, menjadikan OPR sehingga 3.5 peratus, daripada 2.5 peratus pada masa ini," kata penganalisis di Goldman Sachs.

"Evolusi dasar subsidi selepas pilihan raya kekal sebagai risiko utama. Peralihan yang lebih pantas kepada subsidi bahan api yang disasarkan mungkin membayangkan tekanan inflasi lebih tinggi, dan hasil dasar BNM yang lebih agresif daripada ramalan garis dasar kami."

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022, pengembangan terpantas dalam setahun, kebanyakannya didorong oleh permintaan dalam negeri dan eksport yang berdaya tahan, walaupun momentum itu tidak mungkin dapat dikekalkan.

"Pertumbuhan ekonomi mungkin akan melemah dengan ketara pada suku akan datang, apabila rangsangan daripada pembukaan semula semakin pudar, dan permintaan luar yang lebih lemah mengheret eksport," kata Gareth Leather, ahli ekonomi kanan Asia di Capital Economics.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 3:10 PM