Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kelegaan dan disambut baik rakyat.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus lagi kepada 3.0 peratus pada Mei lalu, ramai yang masih menyesuaikan perbelanjaan mereka dengan kenaikan bayaran pinjaman bank masing-masing.

Katanya, OPR kekal memberi ruang kepada rakyat yang sememangnya tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, apatah lagi kebimbangan inflasi akan kembali naik berikutan kelemahan ringgit beberapa bulan kebelakangan ini.

"Keputusan BNM (kekalkan OPR) sangat membantu terutamanya kuasa membeli pengguna yang berkurangan apabila pertambahan OPR, dan sekiranya berlaku peningkatan OPR, ia akan meningkatkan lagi pembayaran pinjaman bulanan kepada bank.

"Selain itu juga, pengekalan OPR mampu mengekalkan perkembangan ekonomi domestik supaya terus berkembang, ini memandangkan eksport negara semakin perlahan beberapa bulan kebelakangan ini.

"Malah, jumlah perdagangan negara semakin sederhana disebabkan oleh ekonomi global semakin merosot dengan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang semakin perlahan, berikutan bank pusat masing-masing menaikkan kadar faedah dengan tinggi dalam usaha menurunkan kadar inflasi yang memuncak," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, berdasarkan data semasa, OPR patut dikekalkan sehingga akhir 2023, namun begitu sebarang perubahan besar kepada ekonomi global akan memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara yang bersifat terbuka.

Menurutnya, faktor semasa sekarang seperti kenaikan faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan bank pusat dunia yang lain sudah dijangka, krisis geopolitik antara Russia dan China yang berterusan sudah diperkirakan dalam unjuran semasa, kecuali berlaku krisis geopolitik yang baharu atau perubahan ekonomi dunia yang drastik, maka BNM dan kerajaan perlu mengorak langkah untuk menguruskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:20 PM