BANGUNAN Bank Negara. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Bank Negara. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, memandangkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras menunjukkan trajektori menurun yang berterusan.

Penyelidikan oleh Kenanga Investment Bank Bhd menjelaskan walau bagaimanapun, dalam melihat ke hadapan, kemungkinan perubahan harga makanan dan komoditi disebabkan ketidaktentuan dasar kerajaan, risiko geopolitik dan situasi cuaca boleh memberi kesan ketara ke atas unjuran inflasi.

"Oleh itu, BNM dijangka terus menggunakan pendekatan bergantung kepada data dalam proses membuat keputusan," menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Cabang penyelidikan bank pelaburan itu turut memaklumkan walaupun kenaikan ringgit kepada ambang RM4.50 bagi setiap dolar AS baru-baru ini adalah berjangka singkat (kini berlegar dalam julat RM4.54 hingga RM4.57) namun pihaknya mengekalkan pendirian neutral hingga kukuh terhadap trajektori mata wang tempatan bagi tiga hingga enam bulan akan datang berikutan prospek dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah.

"Indeks dolar AS diunjurkan mengalami aliran rendah iaitu kira-kira paras 95.0 pada suku keempat 2023 kerana kami menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berubah pendirian dengan cenderung ke arah kadar faedah rendah ekoran dinamik disinflasi yang berterusan dan potensi kelemahan situasi pasaran buruh di AS," tambahnya.

Walaupun Fed memutuskan kenaikan kadar 25 mata asas baru-baru ini namun, ringgit berjaya pulih daripada beberapa penyusutannya berikutan kenyataan cenderung kepada kadar faedah tinggi oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell semasa sidang media mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed.

Ringgit juga disokong oleh jangkaan pasaran yang semakin meningkat mengenai potensi peralihan dasar susulan bacaan penurunan Indeks Harga Pengguna teras AS yang tidak dijangkakan bagi Jun.

Menurut penyelidikan Kenanga walaupun begitu, mata wang tempatan mengalami tekanan daripada perbezaan hasil negatif yang semakin meluas antara bon kerajaan 10 tahun Malaysia-AS selain itu yuan yang lebih lemah akibat data makroekonomi China yang kurang memberangsangkan menambahkan lagi tekanan pada ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 1:24 PM