FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang, kata AmBank (M) Bhd.

AmBank berpandangan bahawa 125 mata asas (bps) dalam normalisasi pasca COVID-19 telah membawa kepada keseimbangan inflasi pertumbuhan ke tahap yang diinginkan.

BNM akan mengadakan mesyuarat MPC keenam merangkap mesyuarat terakhir untuk 2023 pada 1 dan 2 November ini.

AmBank berkata dalam mesyuarat MPC yang diadakan sebelum ini, BNM telah mengubah pendiriannya kepada "menyokong" berbanding "sedikit akomodatif."

"Kami tidak melihat sebarang perubahan kepada OPR dan kami berpendapat bahawa 125 bps dalam normalisasi pasca Covid-19 telah membawa kepada keseimbangan inflasi pertumbuhan ke tahap yang diinginkan," katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Berkenaan ringgit, bank itu mengunjurkan sokongan kepada mata wang tempatan akhirnya akan diperoleh apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar dasar menjelang pertengahan tahun depan.

"Kami mengulangi gesaan kepada Fed untuk mengurangkan kadar menjelang pertengahan 2024 memandangkan kesan dasar monetari yang ketat mula menjelma, dan dengan prospek jangka sederhana Fed yang mempunyai kecenderungan menurunkan kadar faedah, sokongan kepada ringgit pada akhirnya akan diterima," katanya.

Menurut AmBank, ringgit mencatat paras terendah baharu apabila mencapai paras terendah harian pada 4.796 berbanding dolar AS pada awal minggu lepas.

Menurutnya ini berikutan ringgit tidak menerima sebarang sokongan di tengah-tengah jangkaan "lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang" dan persekitaran mengelakkan risiko berikutan peningkatan konflik di peringkat antarabangsa.

"Selain itu, yuan China yang berkecenderungan rendah diterjemahkan kepada ringgit yang semakin lemah berikutan yuan dan ringgit memegang korelasi lebih 90 peratus dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 12:11 PM