AFP

Manama: Nico Rosberg memanfaatkan sepenuhnya nasib malang rakan sepasukan Mercedes Lewis Hamilton dan pemandu Ferrari Sebastian Vettel untuk meraih kemenangan pada Grand Prix Bahrain, kelmarin.

Enjin Ferrari milik Vettel berdepan masalah pada pusingan awal, namun Rosberg bermula baik untuk mendahului perlumbaan manakala Hamilton yang agak perlahan biarpun bermula dari petak pertama buat kali ke-51 menjadi mangsa pelanggaran dengan pemandu Williams, Valtteri Bottas di selekoh pertama dan menduduki tangga kelapan.

Sewaktu Rosberg mara dengan mudah untuk menguasai perlumbaan dan meraih kejayaan keduanya musim ini, kelima berturut-turut dan ke-16 sepanjang karier, Hamilton bangkit melawan untuk berada di tangga ketiga di belakang Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari, 10 saat di belakang Rosberg.

“Ini hujung minggu yang menakjubkan bagi saya, malah menakjubkan meraih kemenangan sekali lagi,” kata Rosberg, 30, gembira denagan kelebihan 17 mata berbanding Hamilton selepas dua perlumbaan.

“Kunci perlumbaan ini adalah permulaannya,” kata pemandu Jerman itu.

“Saya berjaya mendahului pesaing dan dari situ, saya cuba mengawal perlumbaan.”

Dia menegaskan belum mengambil serius terhadap gelaran juara buat masa ini.

“Ini hanya dua perlumbaan pertama daripada 21 perlumbaan dan perjalanan masih jauh.”

Kejayaan Rosberg mengekalkan penguasaannya terhadap Hamilton sejak pemandu England itu meraih gelaran dunia buat kali ketiga di Texas tahun lalu, pencapaian yang menyaksikannya mencetus momentum meyakinkan bagi memburu kejuaraan pertamanya.

Hamilton bagaimanapun enggan melayan kegagalannya dan mengakui tiada kaitan di antara insiden dua selekoh yang meranapkan peluangnya meraih kejayaan musim ini.

“Saya fikir ia insiden yang berbeza, namun tetap menyakitkan mungkin hari ini lebih sakit.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 7:12 AM