CHIN Teck Lan maut akibat dipukul dengan botol arak. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
CHIN Teck Lan maut akibat dipukul dengan botol arak. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang lelaki yang koma selepas dihentak botol arak dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Taman Sinar Harapan Baru di sini, lima hari lalu, meninggal dunia pada 6.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa Chin Teck Lan, 42, disahkan meninggal dunia di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban di sini.

Menurutnya, pihaknya kini menukar siasatan daripada Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti suspek namun usaha mengesan suspek terbabit masih giat dijalankan.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang lelaki tidak sedarkan diri selepas dikatakan dipukul dengan botol arak dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Taman Harapan Baru, di sini, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 4:21 PM