SITI ZAENAB
SITI ZAENAB

Jakarta: Kementerian Luar Indonesia kelmarin menghantar nota bantahan kepada kerajaan Arab Saudi kerana tidak memaklumkan mengenai hukuman mati yang dijalankan terhadap seorang pembantu rumah negara itu.

Menteri Luar Negeri, Retno Lestari Priansari Marsudi berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu selepas hukuman mati dijalankan terhadap Siti Zaenab Duhri Rupa.

Siti Zainab, 47, dihukum mati di Madinah kelmarin kerana membunuh seorang wanita Arab Saudi yang juga majikannya, Noura Abdullah Al-Morobei pada 1999.

“Peguam Siti Zainab, Khudran Al Zahrani memberitahu kami wanita itu dihukum mati di Madinah pada jam 10 pagi (waktu tempatan).

“Kami sudah menghantar nota bantahan kepada kedutaan Arab Saudi di sini dan bertanya mengapa wakil kami di sana tidak dimaklumkan mengenai hukuman yang dijalankan itu,” katanya.

Jenazah Siti Zaenab dilapor dikebumikan di tanah perkuburan Baqi di Arab Saudi yang turut menempatkan beberapa makam sahabat Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, keluarga Siti Zaenab meminta kerajaan membawa pulang mayat wanita itu untuk dikebumikan di kampung halamannya di Desa Martajazah, Kabupaten Bangkalan di Jawa Timur.

Kisah Siti Zaenab mendapat liputan meluas media Indonesia selepas dia membunuh majikannya dengan alasan tidak tahan didera wanita itu.

Siti Zaenab didapati bersalah menikam Noura dengan pisau beberapa kali, memukul kepala mangsa dengan cerek, menjirus air panas di badan dan menyembur racun serangga pada muka wanita itu.

Dia kemudiannya memasukkan mayat mangsa di dalam beg dan mengheretnya ke bilik air.

Mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Siti Zaenab pada 2001 tetapi ditangguhkan selama 14 tahun bagi menunggu anak mangsa dewasa.

Hukuman mati terhadap Siti Zaenab dilaksanakan selepas anak mangsa enggan memaafkan wanita itu walaupun beberapa kali dipujuk kerajaan Indonesia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:21 AM