Tanah Suci Makkah. FOTO AP / Gambar kecil, Siti Esah. FOTO Rozainah Zakaria
Tanah Suci Makkah. FOTO AP / Gambar kecil, Siti Esah. FOTO Rozainah Zakaria
Zaid Salim


WARGA emas, Siti Esah Mohd, 78, dari Kampung Sungai Ular, Hulu Terengganu yang meninggal dunia di Tanah Suci pada Khamis lalu pernah menyuarakan keinginan mahu meninggal dunia di Makkah.

Keinginannya itu disuarakan secara gurauan ketika bersembang dengan cucunya, Ahmad Faiz Rashid, 19, sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 11 Ogos lalu.

Siti Esah yang sudah dua kali menunaikan ibadah haji berangkat menunaikan rukun Islam kelima bersama anaknya, Nor Asiah Tahir, 48 yang juga ibu kepada Ahmad Faiz.

Siti Esah meninggal dunia jam 7.20 malam Khamis lalu (waktu Arab Saudi) dan selamat dikebumikan jam 10 pagi semalam (waktu Arab Saudi).

Ahmad Faiz berkata, sebaik menerima berita kematian neneknya jam 12.20 malam semalam (waktu Malaysia), dia tidak dapat menahan kesedihan dan menangis sepanjang malam.

"Sebaik menerima surat tawaran haji pada Julai lalu, nenek sangat gembira dan sempat bercerita pengalamannya selepas dua kali menunaikan haji sebelum ini.

"Nenek memberitahu bagaimana seronoknya mengerjakan haji selain keinginannya untuk meninggal dunia di Makkah kerana banyak kelebihan apabila meninggal ketika menunaikan haji.

"Saya tidak sangka gurauan nenek itu menjadi kenyataan," kata pelajar Institut Pengajian Islam Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 5:50 PM