SUMARTINI dan Warnah, tiba di Jakarta selepas menjalani hukuman penjara lebih 10 tahun di Arab Saudi. FOTO Agensi
SUMARTINI dan Warnah, tiba di Jakarta selepas menjalani hukuman penjara lebih 10 tahun di Arab Saudi. FOTO Agensi
AFP

JAKARTA: Dua pekerja domestik Indonesia yang dijatuhi hukuman mati kerana mengamalkan sihir terhadap keluarga majikan mereka di Arab Saudi dibebaskan semalam selepas hukuman mereka dibatalkan, kata Kementerian Luar Indonesia.

Amah yang dikenali sebagai Sumartini dan Warnah, tiba di Jakarta selepas menjalani hukuman penjara lebih 10 tahun di Arab Saudi, kata pegawai kanan kementerian, Lalu Muhammad Iqbal.

Mereka dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Riyadh pada 2009 tetapi hukuman itu dikurangkan pada awal tahun ini selepas rundingan bertahun-tahun antara Indonesia dan Arab Saudi.

“Selepas melalui rundingan sukar, kedutaan berjaya meyakinkan kerajaan Arab Saudi agar amah terbabit dibebaskan dan dibenarkan pulang ke tanah air,” kata Duta Indonesia ke Arab Saudi, Agus Maftuh Abegebriel kepada AFP.

Sumartini dituduh menggunakan ilmu hitam yang menyebabkan anak lelaki majikannya berusia 17 tahun hilang, walaupun remaja itu kemudiannya ditemui masih hidup.

Warnah pula, dituduh menyihir isteri pertama majikannya menyebabkan wanita itu mengalami sakit misteri, lapor media Indonesia.

Aktivis Indonesia menuntut pembebasan dua amah terbabit selama bertahun dan melancarkan bantahan jalanan ketika kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud pada 2017.

Indonesia sekian lama mengadu layanan buruk terhadap pekerja pendatangnya di luar negara dan pada 2015 memperkenalkan larangan kemasukan pekerja domestik baharu di 21 negara Asia Barat.

Jakarta memfailkan bantahan rasmi dengan Arab Saudi selepas negara itu menghukum mati seorang amah tanpa memaklumkan keluarga atau kakitangan konsular pada Oktober tahun lalu.

Amah terbabit dihukum mati kerana membunuh majikannya dalam tindakan dikatakan mempertahankan diri daripada penderaan seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:41 AM