Azizan Hashim


Ipoh: Masalah kurang air dan keletihan punca Pengurus Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan rebah dan tidak sedarkan diri selepas tamat perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Perak, malam tadi.

Setiausaha Kuantan FA, Ahmad Muda, berkata doktor pakar memberitahu demikian selepas merawat Wan Solihi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Katanya, selepas pemeriksaan rapi termasuk imbasan dijalankan doktor berpendapat ia berpunca keletihan dan kekurangan air dan bukannya akibat serangan jantung atau angin ahmar.

"Datuk stabil dan sudah sedar cuma masih lemah. Doktor arahkan beliau berehat dahulu sebelum dibenarkan pulang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Solihi, 46, yang juga Timbalan Presiden Kuantan FA rebah di dalam bilik persalinan ketika bersalaman dengan pemain pasukannya dan terus pengsan.

Pasukan paramedik kemudian dipanggil memberi rawatan awal kepada beliau sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans, pada 11.30 malam tadi.

"Beliau diberi bantuan awal oleh paramedik serta doktor pasukan PKNP sebelum dibawa dengan ambulans yang disediakan untuk perlawanan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan tuan rumah," kata Ahmad.

Saingan pusingan ketiga Piala FA, malam tadi, membabitkan tuan rumah PKNP FC menentang Kuantan FA yang berkesudahan PKNP layak ke suku akhir selepas menang 5-4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 3:48 PM