ANTARA peserta musim baru Mandarin Battle Star.
ANTARA peserta musim baru Mandarin Battle Star.
Oleh Michelle Gun


Program bercorak permainan popular, Mandarin Battle Star bagi murid sekolah rendah kini kembali bagi penganjuran musim keenam.

Bakal menemui penonton di saluran ntv7 pada 6 Jun ini, jam 6 petang, musim kali ini akan menyaksikan 16 pasukan membabitkan murid dari tahun empat hingga enam.

Di penghujung program 10 episod itu, hanya seorang peserta dinobatkan juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM10,000 dan RM5,000.

Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan dan Program ntv7 dan 8TV Goh Ling Ling berkata, musim baru Mandarin Battle Star akan memberi tumpuan dalam pemikiran kreatif dan kemahiran hidup.

“Fokus ini sejajar dengan program Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan pastinya memberi cabaran baru kepada peserta,” katanya.

Menurutnya, program selama satu jam itu akan menguji peserta dari segi pengetahuan am, hal ehwal semasa, Sejarah, Sastera, Matematik, penguasaan bahasa Mandarin serta pengucapan awam.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan guru dan murid sejak penganjuran musim pertama.

“Mandarin Battle Star berjaya memberi insipirasi kepada golongan pendidik kerana kandungan serta pengisian program itu dapat mempertingkatkan pembelajaran murid,” katanya.

Goh berkata, 360 murid dari 120 sekolah di seluruh negara menduduki ujian bertulis yang diadakan di beberapa negeri pada 7 Mac lalu.

“Daripada ujian itu, 16 pasukan terdiri daripada tiga murid dibentuk berdasarkan keputusan yang diaudit,” katanya.

Ujarnya lagi, musim baru Mandarin Battle Star masih mengekalkan format lama dengan memilih seorang pelajar sebagai juara.

“Wang yang diberikan kepada setiap pemenang akan digunakan untuk membantu program anjuran sekolah masing-masing,” katanya.

Menampilkan pengacara popular Tan Ley Teng dan Rickman Chia, Mandarin Battle Star turut menyaksikan finalis dikehendaki mencari harta karun di kawasan luar bandar selama satu hari bagi merasai budaya hidup masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:01 AM