ANTARA peserta yang menyertai pertandingan.
ANTARA peserta yang menyertai pertandingan.
Oleh Michelle Gun


Musim keempat The Voice of China kembali memeriahkan industri seni dan kali ini, penyanyi tanah air, Peace Teo bakal mewakili Malaysia untuk bertanding dalam program realiti itu yang akan bermula pada Julai depan.

Bakat kelahiran Johor Bahru itu terpilih untuk menyertai pertandingan menyanyi itu selepas berjaya menewaskan 10 peserta tempatan lain dalam persembahan final Top 11 The Voice of China Musim Empat Malaysia.

Teo, 27, pernah menyertai pertandingan menyanyi Super Idol Musim Kesembilan Taiwan dan International Chinese New Talent Singing Championship anjuran TVB pada 2010.

Setiap peserta The Voice of China dikehendaki melalui empat peringkat iaitu sesi uji bakat tanpa melihat peserta, pusingan persaingan, ‘Knockout Rounds’ dan persembahan final.

Nasib semua peserta terletak dalam tangan penonton yang diberikan kuasa sepenuhnya untuk memilih juara program realiti itu menerusi undian. Penonton di Malaysia juga berpeluang menyaksikan The Voice of China yang bakal bersiaran di saluran 8TV pada Julai ini.

Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul berkata, seramai 1,500 peserta termasuk beberapa penyanyi tanah air mencuba nasib mereka pada sesi uji bakat The Voice of China Musim Empat Malaysia.

“Antara penyanyi yang hadir ke sesi uji bakat adalah Fayse Goh, Pink Tan, Vivian Chua, Che Zi dan Kopi Lim,” katanya.

Menurutnya, ini kali kedua Malaysia menghantar wakil ke China untuk menyertai pertandingan berprestij itu.

“Stesen televisyen 8TV bangga kerana dapat meneruskan hubungan kerjasama dengan produksi The Voice of China, CanXing Productions,” katanya.

Airin berkata, peserta dikehendaki menghantar demo nyanyian untuk dinilai pihak produksi China sebelum layak ke sesi uji bakat.

Musim keempat The Voice of China bakal menyaksikan barisan juri hebat iaitu penyanyi tersohor Taiwan, Jay Chow, Harlem Yu, Na Ying dan Wang Feng.

Tahun lalu, program realiti itu menobatkan peserta dari Tianjin, Zhang Bichen sebagai juara selepas berjaya memukau penonton dengan lagu Where Does The Time Go di persembahan final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 12:25 PM