Seingat Sha, dua pelakon ini pernah berkawan baik, malah mereka berganding menjayakan drama bersiri popular satu ketika dulu.

Kedua-duanya berbakat, kacak dan menjadi pilihan ramai pengarah untuk tampil sebagai hero. Namun entah di mana silapnya, kemanisan persabahatan yang terjalin bertukar menjadi kelat.

Sha difahamkan, mereka sudah berpatah arang dan tidak boleh bersua muka. Pantang jumpa, masing-masing akan mengata sesama sendiri. Ibarat anjing dan kucing, kalau tidak ditenangkan, silap hari bulan ada yang pulang dengan kesan lebam. Maklumlah orang muda, darah tengah panas menggelegak.

Terbaru, mereka menghadiri majlis resepsi di sebuah hotel di ibu kota. Sebagai kawan pengantin lelaki, mereka diundang ke majlis berkenaan.

Barangkali pengantin tahu mereka tidak boleh duduk dekat, lalu dipisahkan meja. Apabila duduk berjauhan, tak berlakulah drama tambahan antara kedua-duanya.

Namun khabarnya, ketika seorang naik memberi ucapan dan berkongsi perkenalannya dengan pengantin lelaki, seorang lagi hanya mencebik. Tak kuasa dengar barangkali. Sudahlah meleret ucapannya, lawak pun hanya tuan punya badan yang gelak.

Dengarnya, ramai tahu mereka tidak sebulu, termasuk produksi. Kalau tawarkan kedua-duanya berlakon dalam drama atau telefilem sama, seorang pasti akan tarik diri.

Kerana itu, dari awal mereka hanya akan calonkan satu nama. Buat apa nak cari masalah, kata mereka. Kalau nak panggil seorang lagi berlakon, tunggulah drama seterusnya.

Sampai begitu sekali amarahnya. Apalah agaknya yang menjadi punca dua pelakon ini putus sahabat ya?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:08 AM