Stockholm: Arab Saudi enggan menerima empat monyet dari zoo di Sweden kerana konflik diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Pengarah Zoo Skansen, Jonas Wahlstrom berkata dia menerima panggilan dari Zoo Riyadh yang mengatakan kerajaan negara itu tidak membenarkan kemasukan monyet baka pygmy marmoset berkenaan.

Pygmy marmoset ialah monyet paling kecil di dunia dengan ketinggian 12 sentimeter.

Zoo Skansen menghantar kira-kira 10 pygmy marmoset ke zoo di seluruh dunia setiap tahun hasil daripada kejayaannya membiak haiwan itu.

“Mereka (Arab Saudi) tidak mahu menerima monyet itu kerana konflik politik yang berlaku,” katanya.

Pertengahan Mac lalu, Arab Saudi memanggil pulang duta besarnya ke Sweden selepas kritikan yang dilemparkan pemimpin negara itu terhadap rekod hak asasi manusia Arab Saudi.

Stockholm turut menggantung perjanjian kerjasama pertahanan dengan Riyadh.

Minggu lalu, Arab Saudi menghantar semula dutanya ke Stockholm selepas Raja Sweden meminta maaf.

Wahlstrom berkata, pihaknya mungkin menghantar monyet itu ke zoo di negara lain jika Riyadh tetap dengan keputusannya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:25 AM