Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin tidak boleh diadakan serentak dengan PRK Permatang Pauh kerana 7 Mei adalah Hari Hol bagi Pahang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Hari Hol adalah cuti umum di negeri Pahang dan banyak program penting sudah dirancang sepanjang hari berkenaan yang membabitkan kerabat diraja, pihak istana dan ketua jabatan.

"Pada mulanya, kami ingin mengadakan serentak dengan PRK Permatang Pauh, tetapi 7 Mei adalah Hari Hol yang juga cuti umum.

"Mengambil kira perkara itu, kami membuat keputusan mengadakan PRK Rompin pada 5 Mei iaitu dua hari lebih awal.

"Pada masa sama, tidak menjadi halangan untuk ia diadakan lebih awal dari Permatang Pauh asalkan memenuhi syarat dan tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini, sebentar tadi.

Selain itu, Abdul Aziz berkata,SPR mengambil keputusan untuk membuka satu lagi pusat pengundian awal bagi PRK Permatang Pauh iaitu Berek Kelamin Balai Polis Kubang Semang (DUN Penanti) bagi memudahkan pengundi awal di DUN berkenaan yang sebelum ini terpaksa mengundi di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 11:46 AM