Bukit Mertajam: Calon bebas pilihan raya umum (PRU) ke-13, Dr Abdullah Zawawi Samsudin, 47, sekali lagi akan mencuba nasib untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Anak tempatan kelahiran Kubang Ulu, Penanti itu berkata beliau akan hadir di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), esok, bersama penyokong dan pencadang untuk menghantar borang pencalonan.

“Saya akan hadir di pusat penamaan calon sebelum 10 pagi dan simbol parti yang dibawakan kali ini adalah bunga raya,” katanya, di sini, hari ini.

Pengamal perubatan itu yang menggunakan simbol payung pada PRU ke-13 lalu, tewas kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mazlan Ismail dengan hanya mendapat 201 undi dan hilang deposit.

Walaupun kalah, katanya, perjuangan tetap diteruskan pada PRK Permatang Pauh kali ini bagi menyokong agenda perpaduan dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira kedudukan mereka.

Dr Abdullah Zawawi turut menolak dakwaan bahawa beliau bertanding atas sokongan sesetengah pihak berkepentingan politik dan menegaskan beliau adalah seorang calon bebas yang telus dan telun.

PRK Permatang Pauh itu diadakan selepas Anwar, penyandang kerusi Parlimen itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada esok manakala hari pengundian 7 Mei. Pengundian awal 3 Mei. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:07 PM