Nurain ibu kepada dua beradik yang termakan keropok didakwa mengandungi racun tikus ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP). FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Nurain ibu kepada dua beradik yang termakan keropok didakwa mengandungi racun tikus ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP). FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Walaupun hanya setengah jam dapat lawat, umpama menjadi pengubat rindu dan rasa mahu peluk kedua-duanya.

"Saya rindukan keletah mereka terutama jika adik merajuk, abang akan datang pujuk," kata Nurain Hasnorizal, 25, ibu kepada dua beradik yang termakan makanan ringan dicampur racun tikus.

Nurain berkata, pada masa ini keadaan dua beradik itu masih kritikal dan doktor sedang berusaha memberi rawatan yang sewajarnya.

"Pertemuan dengan doktor pagi tadi memaklumkan bahawa kondisi anak sulungnya makin merosot.

"Doktor beritahu keadaan matanya tidak bergerak dan otak mula membengkak. "Tekanan darah juga rendah, begitu juga dengan adiknya. Kedua-duanya masih tidak sedarkan diri. Saya reda dengan apa yang berlaku.

"Ketika melawat, saya menyentuh tangan mereka dan berpesan 'jangan sakit lama-lama' kerana sudah tidak sanggup lihat mereka menahan sakit," katanya.

Menurutnya, dia kini menyewa motel berhampiran hospital bagi memudahkan urusan sekiranya dipanggil doktor berikutan tidak dibenarkan kedua-dua anaknya.

"Tiada lain yang saya harapkan, semoga anak-anak kuat melawan kesakitan mereka," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Mengulas lanjut Nurain berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesejahteraan dua anaknya.

"Saya juga mengelak bagi membaca komen warganet di media sosial kerana bimbang fikiran akan terganggu.

"Cuma saya berharap supaya hentikan sebarang komen negatif dan biarlah pihak berkuasa sahaja yang menyiasat kejadian," katanya.

Menurut Nurain, pada masa ini, dia belum menerima panggilan daripada penduduk yang didakwa mencampurkan racun tikus ke dalam makanan itu.

"Kali terakhir saya jumpa dengannya ialah pada hari kejadian, tapi pada masa ini biarlah saya fokus kepada kesihatan anak dahulu," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, kelmarin.

Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.

Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.

Doakan kesembuhan dua anak - Ibu

Nenek kesal makanan beracun digantung tepi pagar, mudah dicapai cucu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 3:09 PM