ABDUL Aziz mengumumkan tarikh PRK Parlimen Rompin, semalam.
ABDUL Aziz mengumumkan tarikh PRK Parlimen Rompin, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Tarikh pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin tidak boleh diadakan serentak dengan PRK Permatang Pauh memandangkan 7 Mei adalah cuti umum bagi Pahang yang menyambut Hari Hol.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pada Hari Hol banyak program diatur dari pagi hingga malam yang membabitkan kerabat diraja, istana dan ketua jabatan.

“Pada asalnya saya berhasrat mengadakan PRK ini serentak, tetapi selepas diteliti kembali 7 Mei tidak sesuai untuk PRK Parlimen Rompin kerana Pahang menyambut Hari Hol.

“Jadi, apabila perbincangan dilakukan dalam mesyuarat khas hari ini (semalam) SPR memutuskan PRK Parlimen Rompin diadakan pada 5 Mei, dua hari lebih awal daripada PRK Permatang Pauh.

“Dari segi undang-undang ia tidak menghalang SPR untuk mengadakan (PRK Parlimen Rompin) lebih awal daripada PRK Permatang Pauh, asalkan memenuhi syarat dibawah perlembagaan, dan undang-undang serta peraturan lain... (jadi) keputusan ini tidak menjadi kesalahan,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat SPR di sini, semalam.

Hari Hol yang disambut 7 Mei setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Sultan Abu Bakar iaitu ayahanda Sultan Ahmad Shah yang masih bertakhta pada hari ini.

Kebiasaannya pada hari itu, keluarga diraja Pahang dan rakyat mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di Makam Diraja Pekan selain di masjid dan surau di seluruh negeri itu.

Mengenai kedua-dua PRK yang jatuh pada hari bekerja, beliau berkata, pihaknya mendapati peratusan keluar mengundi tiada kaitan sama ada pilihan raya itu diadakan pada hari bekerja atau cuti.

Menurutnya, ada ketika peratusan keluar mengundi pada pilihan raya yang dilaksanakan pada waktu bekerja lebih tinggi berbanding hari cuti.

“Kami dapati undang-undang juga membenarkan, jadi kami bincang dan putuskan kedua-dua PRK ini diadakan pada hari bekerja.

“Sehubungan itu, saya berharap majikan sama ada sektor swasta atau awam memberikan pelepasan dalam tempoh yang munasabah kepada pengundi keluar mengundi,”katanya.

Katanya, Seksyen 24 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukan setiap majikan hendaklah membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi setiap pemilih untuk mengundi dan majikan tidak boleh membuat potongan gaji atau saraan lain, atau mengena dan menuntut sebarang penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.

Menurutnya, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya yang menjadi pemilih berdaftar keluar mengundi boleh didenda sebanyak RM5,000 atau setahun penjara seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, SPR mengambil keputusan untuk membuka satu lagi pusat pengundian awal bagi PRK Permatang Pauh iaitu Berek Kelamin Balai Polis Kubang Semang (DUN Penanti) bagi memudahkan pengundi awal di DUN berkenaan yang sebelum ini terpaksa mengundi di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

Pada masa sama, beliau berkata, tarikh jualan daftar pemilih bagi PRK Permatang Pauh adalah pada 23 April dan bukan 19 April seperti yang diumumkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:45 AM