Farouk (duduk) bersama Pengurus Jualan Piaggio Kawasan Asia Pasifik, Neri Miclaus.
Farouk (duduk) bersama Pengurus Jualan Piaggio Kawasan Asia Pasifik, Neri Miclaus.

Petaling Jaya: Naza Premira Sdn Bhd (NPSD), pengedar dan pengimport tunggal Vespa di negara ini menyasarkan 20 peratus jualan bagi model terbaru Vespa Sprint yang dilancarkan semalam.

Naib Presiden II NPSD Farouk Faisal berkata, pihaknya menggandakan sasaran jualan semua produknya pada 2015 berbanding tahun lalu.

“Pada masa sama, kami membuka lima lagi cawangan pengedarnya sehingga hujung tahun yang kini mempunyai 25 pengedar.

“Lima pengedar itu merangkumi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, selain di Sabah dan Sawarak,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Vespa Sprint di sini, semalam.

Vespa Sprint dilancarkan selepas lebih empat bulan Primavera diperkenalkan hujung tahun lalu.

Kehadiran Vespa Sprint itu menghangatkan generasi Vespa yang sebelum ini popular sekitar 1960 sehingga 1970.

Vespa Sprint dijanakan enjin silinder tunggal bersesaran 150 cc dengan tiga injap yang menyalurkan kuasa maksimum sehingga 9.7 Kw pada 7,500 rpm.

Jentera itu juga lebih jimat minyak sehingga 64 kilometer seliter dengan purata kelajuan 50 kilometer sejam (km/j).

Motosikal itu ditawarkan dengan enam pilihan warna yang dijual pada harga RM13,888 tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:25 AM