S125 Carbon Edition.
S125 Carbon Edition.
Lizam Ridzuan

SEBAGAI skuter yang menyerlahkan gaya ranggi dan sporty, tiga model Vespa baharu dilancarkan di Malaysia bagi menambah pilihan kepada pembeli di negara ini.

Mengekalkan DNA asal, Primavera S 150, Sprint S 150 dan S125 Carbon Edition diperkenalkan untuk pasaran tempatan dengan kemasan lebih menarik sesuai untuk gaya hidup mobiliti urban.

Untuk model Vespa Primavera S 150, ia diberi sentuhan lebih segar, bergaya dan sporty dengan pelindung tepi, rim dan hon warna kelabu gelap serta rim aloi 12 inci lima jejari dua ton yang dikuasakan enjin 150cc i-Get.

PRIMAVERA S baharu.
PRIMAVERA S baharu.

Vespa Primavera S 150 dijual pada harga RM16,400 dengan tiga pilihan warna baharu.

Vespa Sprint S 150 tampil dengan ciri kelainan dalam rangkaian varian Sprint dengan kerangka keluli, juga yang pertama dalam kelasnya dilengkapi dua rim bersaiz 12 inci hitam.

SPRINT S menawan.
SPRINT S menawan.

Ia dilengkapi pelana corak baharu dengan perekat grafik hitam dan merah serta enjin 150cc i-Get mesra alam dijual pada harga RM17,400.

Bagi S125 Carbon Edition yang diinspirasikan daripada model Vespa tahun 1970-an, ia tampil lebih kreatif dan dinamik seperti sentuhan elemen karbon dengan perekat S merah pada rim 11 inci, bendera ‘Tricolore’ Itali, lampu hadapan petak dan enjin 125cc i-Get dijual pada harga RM12,500.

KEMASAN hadapan Sprint S.
KEMASAN hadapan Sprint S.

Semua model Vespa didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Ramasamy Devaraju berkata, sebagai pendahulu dalam ‘trend’ serta gaya hidup, Vespa sesuai buat lelaki dan wanita yang mahukan jentera ‘small body’ yang pantas terutama bagi menempuh kesesakan jalan raya di tengah kota.

PANDANGAN sisi S125 Carbon Edition.
PANDANGAN sisi S125 Carbon Edition.

“Vespa sesuai buat mereka dengan gaya hidup dalam bandar aktif dan bergaya.

“Melalui barisan model terbaharu yang ditawarkan, ia pasti mendorong peningkatan jualannya,” katanya pada pelancaran tiga model baharu Vespa S itu.

Sejak menjadi pengedar rasmi Vespa di negara ini pada 2010, Naza Premira sudah menjual 12,000 unit Vespa.

Bagi kemudahan pelanggan, 22 cawangan pusat jualan dan servis turut disediakan. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:00 AM