MARQUEZ meraikan kemenangannya selepas mencul juara bagi kali ke-12. FOTO EPA
MARQUEZ meraikan kemenangannya selepas mencul juara bagi kali ke-12. FOTO EPA

SEPANG: Pelumba Pasukan Repsol Honda, Marc Marquez menyamai rekod Mick Doohan selepas mencul juara bagi kali ke-12 dalam kelas utama bagi satu musim dalam Grand Prix Motosikal (MotoGP).

Pelumba Sepanyol itu merangkul kejuaraan Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 dengan catatan 40 minit dan 45.523 saat dalam saingan di Litar Sepang di sini, hari ini.

Juara dunia sebanyak enam kali dari Itali, Valentino Rossi menduduki tangga kedua manakala pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo berada di tempat ketiga. Kedua-dua pelumba itu dari pasukan Movistar Yamaha. Rossi ketinggalan cuma 2.445 saat di belakang Marquez dan Lorenzo pula ketinggalan 3.508 saat di belakang juara berkenaan.

"Perlumbaan hari ini adalah saingan yang sangat sukar, terutama daripada segi fizikal.

“Pada awalnya, saya melakukan kesilapan di selekoh pertama... apabila saya berada di belakang pelumba Yamaha, saya cuba untuk menguasai rentak perlumbaan dan selepas 7-8 pusingan, saya meneruskan strategi saya untuk memintas mereka.

"Saya amat gembira apabila muncul juara. Saya telah mencapai impian saya pada musim ini tetapi saya menaruh harapan untuk mengatasi rekod di Valencia," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Kejayaan Marquez meraih kejuaraan itu membolehkan beliau menyamai rekod pelumba Australia, Mick Doohan, yang meraih 12 kemenangan pada 1997.

Marquez, 21, berpeluang mengatasi rekod itu dengan kemenangan pada perlumbaan terakhir di Valencia.

Beliau akan bertanding di Valencia dengan mengumpul 337 mata untuk mendahului pelumba Pasukan Movistar Yamaha, Valentino Rossi dengan 62 mata.

Rakan sepasukan Rossi, Jorge Lorenzo berada di tempat ketiga dengan mengumpul 263 mata. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 9:25 PM