DORTMUND perlu lupakan kekalahan di tangan Bayern Sabtu lalu.
DORTMUND perlu lupakan kekalahan di tangan Bayern Sabtu lalu.

Berlin: Borussia Dortmund berharap muncul juara Piala Jerman musim ini bagi mencerahkan harapan bertanding pada pertandingan Eropah musim depan menjelang perlawanan suku akhir menentang Hoffenheim, awal pagi esok.

Dortmund menerima kunjungan Hoffenheim manakala Wolfsburg menanti kehadiran Freiburg awal pagi esok, kemudian penyandang juara Bayern bertandang ke Bayer Leverkusen awal pagi Khamis ini dan kelab divisyen dua Arminia Bielefeld menanti kunjungan Borussia Moenchengladbach.

Kekalahan 0-1 Dortmund di laman sendiri kepada Bayern Sabtu lalu menyebabkan mereka menghuni tangga ke-10 liga dan secara efektif menamatkan hasrat bertanding dalam Liga Juara-Juara bagi tahun kelima musim depan.

Pasukan kendalian Juergen Klopp itu kini 15 mata berbanding pasukan tangga keempat berikutan keputusan hambar awal musim yang menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Bundesliga pada Februari lalu.

Namun juara Piala Jerman 2012 itu masih boleh meraih tempat ke Liga Europa, sama ada dengan memenangi final di Stadium Olimpik, Berlin tahun ini atau penamat enam teratas dalam Bundesliga.

“Perlawanan piala kini amat penting buat kami. Tampil di Berlin masih sasaran utama musim ini,” jelas pengarah sukan Dortmund Michael Zorc. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:27 AM