KOSMETIK antara sektor yang menjadi tumpuan yang boleh dimajukan HDC.
KOSMETIK antara sektor yang menjadi tumpuan yang boleh dimajukan HDC.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Halal Industry Development Cooperation Sdn Bhd (HDC) sedang menyiapkan strategi untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bermula tahun depan bagi memperkasakan industri halal Malaysia yang merangkumi prospek pelaburan, eksport, pembangunan usahawan dan peluang pekerjaan.

Ini kerana industri halal negara menunjukkan prestasi amat memberangsangkan dalam pelbagai aspek yang mendahului negara luar lain antaranya eksport, penyediaan logistik, insentif pelaburan serta rujukan halal.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) industri halal setakat tahun lalu berjaya mencatatkan 800 syarikat eksport, 160,000 peluang pekerjaan dan nilai eksport bernilai RM37 bilion.

Beliau berkata, dalam RMK-11 pihaknya menyasarkan semua angka berkenaan mampu mencatatkan pertumbuhan dua kali ganda menjelang 2020 untuk menjadikan 1600 syarikat mengeksport produk halal, lebih 300,000 peluang pekerjaan, dan lebih RM50 bilion nilai eksport.

“Pada masa sama, kita juga akan memperkasakan penyertaan pemain perindustrian kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor halal yang mana jika dilihat setakat tahun lalu 90 peratus daripada 800 syarikat pengeksport terdiri daripada PKS serta menggalakkan lagi penyertaan syarikat tempatan.

“Kita juga ingin menggalakkan lebih ramai pemain PKS menjadi pengeksport bernilai tinggi serta berstatus multinasional dengan mempromosikan produk mereka di pasaran yang bersesuaian serta mendapat permintaan tinggi pada masa depan,” katanya.

Sejak 2011 hingga 2014, eksport halal Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif iaitu RM23.9 bilion pada 2011; RM31.9 bilion, 2012; RM32.8 bilion, 2013; dan RM37.7 bilion, 2014. Angka berkenaan terus meningkat walaupun Malaysia berdepan dengan situasi ekonomi mencabar.

Sementara itu, mengulas mengenai menyeragamkan standard halal di peringkat ASEAN, Jamil berkata, cadangan itu dijangka dapat dilaksanakan memandangkan ia berskala lebih kecil berbanding sasaran awal untuk menyeragamkannya di peringkat dunia.

Katanya, isu penyeragaman itu sudah dibincangkan sejak bertahun di peringkat global, tetapi belum ada penyelesaiannya berikutan perbezaan mazhab terutama kaedah penyembelihan.

“Jika bermula di ASEAN kita boleh membincangkannya pada skop lebih kecil dan mazhab di rantau ini lebih kurang sama dan ia mampu memberi kesan positif dari segi perdagangan dan konsumer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:43 AM