Hafiz Ithnin

Petaling Jaya: Halal Industry Development Corporation (HDC) mengunjurkan eksport dagangan produk halal pada tahun ini mencapai RM40 bilion berbanding RM39.3 bilion yang dijangka dicapai pada tahun lalu.

Pertumbuhan kecil itu berikutan prestasi ekonomi semasa yang mencabar berbanding sekitar 2012 hingga 2015 yang mana eksport industri berkenaan meningkat kira-kira lima peratus.

Ketua Pegawai HDC Datuk Seri Jamil Bidin berkata, pihaknya merancang beberapa perkara yang boleh meningkatkan prestasi eskport halal pada tahun ini yang dijangka terus berdepan cabaran termasuk memantapkan kedudukan di pasaran asing sedia ada dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri halal.

Beliau berkata, kerjasama dua hala antara kerajaan Malaysia dengan jutawan e-dagang dari China, Jack Ma mampu membantu menggalakkan pertumbuhan eksport industri menerusi platform dagangan itu.

“Berkaitan kerjasama antara Jack Ma dan Malaysia, ia masih di peringkat awal dan dalam proses membangunkan beberapa rangka kerja untuk infrastruktur dan kemudahan yang boleh dilaksanakan dalam rancangan itu.

“Pada masa sama, kita memastikan PKS tempatan bersedia dengan kerjasama ini dan berharap melihat hasil kerjasama itu selepas suku pertama tahun ini,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi industri halal 2016 di sini, semalam.

Menurutnya, industri halal mencatatkan sumbangan 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015.

Dari segi pelaburan, ia dijangka mampu merekodkan RM11.9 bilion kepada Taman Halal Halmas pada 2016 dan membuka 248,508 peluang pekerjaan baru.

Katanya, Malaysia berada pada kedudukan kukuh sebagai hab global halal dunia berikutan negara mempunyai rantaian ekosistem industri yang terbaik.

Beliau berkata, industri halal Malaysia mempunyai rantaian ekosistem daripada segi pembangunan usahawan, eksport, kepakaran pengetahuan, kutipan data dan pusat rujukan global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:07 AM