Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Halal Industry Development Cooperation Sdn Bhd (HDC) melihat situasi dagangan global yang mencabar tidak memberi kesan langsung kepada prestasi dagangan sektor halal apabila pada suku pertama lalu, eksport halal bernilai RM10.8 bilion, meningkat 17.75 peratus daripada RM9.2 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu juga mengunjurkan eksport halal pada suku kedua ini akan lebih tinggi daripada tempoh sama pada tahun lalu disebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan jumlah penduduk Islam di peringkat global.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, peningkatan penduduk Islam mengakibatkan prestasi dagangan produk halal tidak mengalami kesan langsung apabila berlakunya isu kelembapan ekonomi mahupun kelemahan ringgit.

Beliau berkata, malah kelemahan ringgit juga memberi kesan positif kepada prestasi eksport halal memandangkan pemain industri dapat mencatatkan perolehan lebih tinggi hasil pertukaran mata wang asing terutama dolar Amerika.

“Pasaran halal global sememangnya sentiasa meningkat memandangkan terdapat pertumbuhan penduduk Islam dan kapasiti produk halal global yang masih tidak mencukupi pasaran memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menerokainya.

“Hasil eksport halal peringkat global setakat suku pertama tahun ini menyaksikan China masih menduduki tangga pertama dengan RM1.7 bilion, diikuti Singapura (RM1.08 bilion), Amerika Syarikat (RM807.5 juta) dan Indonesia sebanyak RM781.4 juta,” katanya.

Mengenai pasaran baru, Jamil berkata, pihaknya melihat Bangladesh, India dan Pakistan adalah lokasi pasaran yang berpotensi untuk diterokai oleh pemain industri terutama membabitkan sektor makanan serta minuman.

Katanya, jumlah penduduk Islam yang ramai di negara berkenaan membolehkan permintaan produk halal meningkat dan pemain industri tempatan perlu mengambil kesempatan dengan mengkaji keperluan pengguna di sana.

“Selain itu, Indonesia juga perlu diberi tumpuan kerana pasaran di negara jiran ini sentiasa berkembang memandangkan populasi penduduk yang meningkat setiap tahun dan terletak berhampiran antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 6:35 AM