POCHETTINO bersedia latih Chelsea. FOTO EPA
POCHETTINO bersedia latih Chelsea. FOTO EPA
Agensi

London: Chelsea sedang dalam perbincangan lanjut untuk melantik bekas pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu mereka.

Mereka dijadual melayan kunjungan Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi Khamis ini dengan pasukan 'terdesak' memburu kemenangan.

Pasukan The Blues belum meraih kemenangan dalam empat perlawanan sejak Frank Lampard mengambilalih tugas sebagai pengendali, malah tidak pernah memenangi mana-mana perlawanan sejak awal Mac lalu.

Pengendali dari Argentina dengan tugas terbaharunya adalah di Paris St-Germain dikatakan berminat dengan peranan itu tetapi lebih banyak rundingan akan dilakukan sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan.

Chelsea mahukan penyelesaian yang lebih cepat dan percaya mereka di proses akhir memuktamadkan pengganti kepada Graham Potter.

Pochettino, 51, akan mengambil alih daripada pengurus sementara Lampard.

Bekas pemain tengah England itu mengambil alih tugas pengendali The Blues selepas mereka memecat Potter pada awal April, tetapi tewas kesemua empat perlawanannya.

Bagaimanapun masih belum diketahui sama ada Pochettino yang kini tidak bekerja sejak PSG memecatnya pada Julai 2022 akan mengambil alih serta-merta atau sama ada Lampard akan kekal seperti yang dirancang sehingga akhir musim.

Chelsea bagaimanapun turut mengadakan perbincangan dengan bekas pengendali Bayern Munich, Julian Naglesmann sebelum dia disingkirkan.

Bekas pengurus Sepanyol dan Barcelona, Luis Enrique pernah menjadi calon bersama-sama pengendali Burnley, Vincent Kompany yang membimbing pasukan Turf Moor itu ke Liga Perdana musim ini juga berada dalam senarai pendek.

Pochettino mengendalikan Spurs selama lima tahun dari 2014 dan membawa mereka ke final Liga Juara-Juara 2019 yang mana mereka tewas kepada Liverpool.

Dia dipecat pada November 2019 selepas mereka membuat permulaan mengecewakan pada kempen berikutnya apabila berada di tangga ke-14 dalam Liga Perdana.

Pochettino juga membimbing Spurs ke final Piala Liga pada 2015 dan menduduki kedudukan kedua dalam Liga Perdana pada 2016-17, dengan Chelsea memenangi kedua-dua saingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 8:15 AM