Sepang: Dua pasukan utama kelas MotoGP, Repsol Honda serta Movistar Yamaha saling bersaing pada dua sesi ujian bebas semalam dengan Honda dilihat pantas di litar kering manakala Yamaha mendominasi litar basah.

Sesi ujian pertama semalam menyaksikan cabaran didominasi Dani Pedrosa bersama jentera Honda dengan catatan 2 minit 1.379 saat ketika cuaca kering.

Dia mengatasi Alex Espargaro dari pasukan NGM Forward Racing yang ketinggalan 0.014 saat manakala juara dunia dua kali, Jorge Lorenzo mencatat masa ketiga terpantas.

Namun pada sesi ujian kedua, Lorenzo dari Yamaha menafikan dominasi Honda dengan catatan 2 minit 14.745 saat ketika litar basah selepas hujan lebat.

Lorenzo mengatasi dua pelumba Honda, juara dunia dua kali Marc Marquez di tempat kedua manakala Pedrosa yang mengungguli sesi latihan pertama, ketiga terpantas.

Bagi Lorenzo, meskipun Yamaha dilihat pantas di litar basah, dia tidak mahu keadaan cuaca berubah-ubah pada perlumbaan sebenar kerana menyukarkannya untuk mengejar rakan sepasukan, Valentino Rossi dalam perebutan tempat kedua kejuaraan pemandu selepas kini hanya ketinggalan lapan mata.

"Saya harap perlumbaan berlangsung dalam cuaca basah atau kering dan bukannya berubah-ubah kerana ia akan menyukarkan semua pelumba.

"Di litar basah saya memang gembira dengan prestasi jentera kerana dua saat lebih pantas berbanding pelumba lain.

"Kami juga agak baik di litar kering. Tapi apapun, saya rasa kami mampu mencabar untuk meraih podium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:02 AM