Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) menceriakan kem pasukan selepas mendapat lampu hijau beraksi pada perlumbaan pembuka tirai Grand Prix Qatar 2015 di Doha, hujung minggu ini.

Hafizh mencetuskan kebimbangan selepas terjatuh pada ujian terakhir ujian pra musim di Litar Jerez, minggu lalu.

Pengesahan doktor mendapati pelumba berusia 20 tahun itu tidak mengalami patah kaki kecuali pergelangan kaki kanannya sedikit bengkak.

Hafizh berkata, pengesahan doktor mengesahkan tiada tulang patah membuatnya rasa lega untuk mempersiapkan diri menghadapi perlumbaan pertama Moto2 musim ini.

“Saya yakin masalah kesakitan serta bengkak dapat diatasi menjelang GP. Ia mengecewakan tetapi saya berharap dapat memberikan cabaran terbaik pada GP Qatar.

“Paling penting mengembalikan kecergasan memandangkan selekoh serta laluan panjang di sirkit Antarabangsa Losail memerlukan ketahanan tinggi,” katanya.

Pengurus pasukan, Barry Leong berkata, kecederaan dialami Hafizh tidak serius dan yakin anak buahnya itu dapat beraksi di GP Qatar Ahad ini.

“Kami melalui sesi ujian kurang memberangsangkan untuk mendapatkan pelarasan terbaik menghadapi perlumbaan pertama musim ini.

“Apapun, saya yakin Hafizh memiliki mental kuat dan saya yakin dia akan pulih menjelang perlumbaan sulung musim. Jika tidak kecederaan itu saya yakin Hafizh mampu menempatkan kedudukan tiga teratas dalam kelompok terpantas pelumba Moto2 pada sesi ketiga ujian di Sepanyol,” katanya.

Dua pelumba Malaysia, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman juga akan beraksi dalam kategori Moto2 pada perlumbaan GP Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:36 AM