HAFIZH  samai catatan terpantas Moto2 musim lalu.
HAFIZH samai catatan terpantas Moto2 musim lalu.
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Pelumba Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah belum dapat menguji jentera baru ke tahap maksimum akibat salji melanda sirkit Valencia, Sepanyol.

Biarpun begitu, pelumba Moto2 itu masih dapat melakukan 51 pusingan dan menyamai masa sepusingan terpantas GP Moto2 bersama jentera terbaru casis Kalex yang akan digunakan pada musim kejuaraan MotoGP 2015.

Ujian itu tugasan pertama Hafizh selepas berehat dua bulan dalam usahanya mendapatkan semula kesesuaian bersama jentera dan pelarasan.

Hafizh berkata, dia terlalu mendesak jentera digunakan selepas berehat panjang sejak kali terakhir bertarung di litar lumba.

“Saya berasa sedikit berkarat dan merancang untuk bertenang pada hari pertama. Jurutera memberikan saya arahan untuk mencuba beberapa kepelbagaian dan mungkin memerlukan banyak pusingan bersama jentera baru.

“Sesi ketiga memberikan keputusan memberangsangkan kerana saya menyamai catatan masa sepusingan paling laju sewaktu perlumbaan Moto2 GP Valencia 2014.

“Saya akan cuba menurunkan catatan masa sepusingan terpantas sekurang-kurangnya satu per 10 saat,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pengurus pasukan Barry Leong berkata, jentera baru Kalex memiliki lebih banyak variasi bagi pelarasan dan jurutera akan memberikan idea baru untuk permulaan terbaik di Valencia.

“Dengan Ujian Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA) berlangsung dalam dua sesi lagi, pasukan akan menggunakan data, pengetahuan terbaru dan pelarasan suspensi.

“Kami akan cuba melakukan satu demi satu untuk mendapatkan pelarasan terbaik sebelum saingan musim MotoGP 2015 membuka tirai di Qatar pada 27-29 Mac,” katanya.

Pelumba berusia 20 tahun itu ‘digelar King of Pocket Bike’ bersaing pada musim keempat Moto2, menduduki tempat ke-19 keseluruhan musim lalu dengan mengumpul 42 mata.

Dia mencatat satu masa sepusingan terpantas dan sekali menjejak podium pada GP Malaysia 2012 dalam kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:39 AM