HAFIZH tekad ulang kejayaan di Litar Mugello.
HAFIZH tekad ulang kejayaan di Litar Mugello.
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Biarpun keadaan fizikal tidak berada pada tahap kecergasan terbaik akibat demam sejak dua hari lalu, pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad mengulangi pencapaian cemerlang pada perlumbaan Moto2 di Litar Mugello pada Grand Prix Itali, hujung minggu ini.

Selepas cemerlang menduduki tempat ke-9 pada perlumbaan di litar Le Mans pada GP Perancis, dua minggu lalu, penunggang digelar ‘Pescao’ itu berusaha mengembalikan kecergasan untuk beraksi di salah satu litar kegemaran ramai pelumba bersaing dalam kategori itu.

Pengurus pasukan, Barry Leong mengakui demam Hafizh tidak terlalu membimbangkan kerana perkembangannya dipantau rapi pakar perubatan menerusi klinik bergerak MotoGP.

“Ya, dia demam. Saya harap Hafizh kembali cergas 100 peratus menjelang sesi latihan serta ujian masa dan perlumbaan Ahad,” katanya.

Hafizh menerusi laman Twitternya memberitahu demamnya masih belum sembuh sepenuhnya.

“Demam masih belum OK termasuk selesema. Saya mengikuti terapi bersama pasukan perubatan MotoGP. Harap dapat sembuh secepat mungkin untuk beraksi pada GP Itali,” katanya.

Keputusan perlumbaan di Perancis jelas menggembirakan kem pasukan itu berikutan jentera mantap disediakan pasukan bergerak lancar dan usaha Hafizh mengejar kelompok sedikit terjejas akibat halangan beberapa pelumba di depan.

Selain Hafizh, dua lagi pelumba negara Azlan Shah Kamarulzaman (Idemitsu Honda Team Asia) dan Zaqhwan Zaidi (JP Motor Racing) bertarung dalam kalender Moto2 musim ini.

Saingan Moto2 musim ini menyaksikan empat pemenang berbeza selepas berakhir lima perlumbaan sengit. Perlumbaan GP Itali tahun lalu dimenangi Tito Rabat dari Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 6:58 AM