HAFIZH sertai pasukan Aspar.
HAFIZH sertai pasukan Aspar.
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui penangguhan perlumbaan Kejohanan Motosikal Dunia susulan pandemik Covid-19 menjejaskan momentum ketika musim ini cukup penting kepada perjalanan kariernya.

Hafizh yang beraksi untuk pasukan Aspar berkata, bukan mudah untuknya menyesuaikan diri dengan jentera Moto2 selepas dua musim penuh di MotoGP dan situasi semakin rumit apabila perlumbaan terpaksa ditangguhkan selepas pusingan pertama di Qatar, awal bulan lalu yang hanya membabitkan kategori Moto3 dan Moto2.

Walaupun pernah beraksi di Moto2 selama empat musim penuh sebelum beralih ke MotoGP pada 2018, Hafizh mengakui dia perlu mempelajari semula karakter jentera Moto2 yang terkini.

"Apabila sudah turun kategori, bermakna saya perlu belajar semula jentera Moto2 secepat mungkin. Kalau ikut jadual asal sepatutnya sudah habis empat pusingan perlumbaan.

"Tapi dengan masalah ini (Covid-19), saya dan barisan pelumba lain terpaksa berehat lama iaitu lebih lama berbanding rehat pada musim sejuk. Saya cuma berharap apabila dapat menaiki jentera semula, saya dapat menyesuaikan diri secepat mungkin. Saya tiada pilihan lain pada tahun ini selain perlu melakukan yang terbaik," katanya.

Hafizh bagaimanapun mengakui langkah pencegahan pandemik Covid-19 ketika ini jauh lebih penting berbanding keinginan untuk berlumba.

"Bukan saya sahaja, semua pelumba juga terkesan tapi kita semua perlu fikirkan soal keselamatan diri terlebih dahulu. Saya harap semua pihak terus kekal di rumah dan mengamalkan apa yang disarankan kerajaan seperti kerap membasuh tangan," katanya.

Seperti acara sukan lain di seluruh dunia, masih belum ada sebarang kepastian bilakah Kejohanan Motosikal Dunia akan bersambung semula dengan perlumbaan kelas utama, MotoGP masih belum dilangsungkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 2:09 PM