Hafizh bakal mewakili pasukan NTS musim depan. FOTO Ihsan NTS
Hafizh bakal mewakili pasukan NTS musim depan. FOTO Ihsan NTS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal menyertai pasukan NTS RW Racing GP dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia musim depan.

Pengurus pasukan NTS RW Racing GP, Jarno Janssen mengesahkan perkara itu menerusi Facebook rasmi pasukan dari Belanda itu hari ini.

Ia bermakna, Hafizh, 26, akan bergandingan bersama pelumba muda dari Belgium, Barry Baltus, 16, akan mengibarkan cabaran Kejohanan Motosikal Dunia dalam saingan Moto2 pada 2021.

"Alhamdulillah, saya gembira dapat meneruskan cabaran dan kekal di Moto2. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pasukan NTS.

"Saya sedar banyak usaha yang diperlukan untuk membangunkan jentera baru tapi saya percaya dengan usaha dan projek ini. NTS adalah pasukan yang menunjukkan peningkatan dari segi penggunaan enjinnya dalam masa yang singkat.

"Saya harap pengalaman dan maklum balas saya membolehkan kami mencapai kejayaan yang lebih besar.

"Saya yakin kami boleh menjalinkan kerjasama yang baik bersama-sama. Saya masih belum mencapai tahap terbaik musim ini jadi saya sangat gembira dengan kepercayaan yang diberikan oleh NTS RW Racing GP," kata Hafizh.

Sementara itu, Janssen mengalu-alukan kedatangan Hafizh dalam pasukan NTS RW Racing GP.

"Hafizh bukan hanya seorang pelumba yang berpengalaman dan berbakat namun dia juga seorang yang cukup menyenangkan dan mudah untuk berurusan," katanya.

Hafizh ketika ini menduduki tangga ke-20 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 21 mata.

Hafizh bakal menunggang jentera Aspar buat kali terakhir pada pusingan terakhir di GP Portugal, 22 November ini.

NTS RW Racing GP akan memulakan musim baharu dengan sesi ujian pada 26 dan 27 November di Jerez.

Pasukan yang dimiliki oleh ahli perniagaan Roelof Waninge musim ini diwakili oleh pelumba Bo Bendsneyder dan Jesko Raffin dan menduduki kedudukan ke-15 dalam senarai pengeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 9:10 PM