KUCHING, 25 Mac (Bernama) -- Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015 yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 April depan di sini, bakal dimeriahkan dengan kehadiran bintang filem kelahiran Hong Kong, Datuk Jackie Chan.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, acara dwitahunan itu juga akan menampilkan kemunculan pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh yang meraih Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pertama AIFFA, dalam AIFFA 2013.

"AIFFA mendapat pengiktirafan daripada kesemua 10 Menteri pelancongan negara anggota ASEAN. Festival itu secara rasmi telah direstui oleh Sekretariat ASEAN, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri sebagai Pesta Filem bagi rantau ini

"AIFFA 2015 kali ini bakal menyaksikan 150 pengeluar filem ASEAN dan antarabangsa akan menghadiri festival itu selain 200 selebriti dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, Brunei, Myanmar dan China," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bicarawara Bersama Media sempena AIFFA 2015, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman; Menteri Muda Pelancongan (Acara & Produk) Sarawak, Datuk Gramong Juna; Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Datuk Ik Pahon Joyik.

Pada majlis sama, 300 tiket tayangan filem diedarkan kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej SEGI Sarawak dan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing Sarawak.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Menteri bertanggungjawab atas Penerangan dan ICT Sarawak berkata, Malaysia mempunyai dua peranan iaitu sebagai tuan rumah AIFFA 2015 dan Pengerusi ASEAN dan festival filem ini adalah antara langkah ke arah merealisasikan penubuhan Komuniti ASEAN akhir tahun ini.

"AIFFA juga merupakan platform berkesan untuk meluaskan kerjasama dan rangkaian dalam kalangan penggiat industri filem ASEAN," katanya.

AIFFA 2015 akan membuka tirainya dengan acara Biz World Film Seminar & Exhibition di Kompleks Pelancongan Sarawak, Movies in the Rainforest (tayangan filem secara marathon selama 12 jam di Kampung Budaya Sarawak) dan disusuli Majlis Makan Malam Gala serta Penyampaian Anugerah AIFFA 2015. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 7:24 PM