Snowdan (dua dari kanan) bersama tetamu terhormat pada pelancaran platform perniagaan di Kuching hari ini.
Snowdan (dua dari kanan) bersama tetamu terhormat pada pelancaran platform perniagaan di Kuching hari ini.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Miri, Sarawak bakal menjadi lokasi penganjuran Festival Filem Asia-Pasifik (APFF) 2024 yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun depan.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan hari ini pada pelancaran platform perniagaan berkaitan filem, AIFFA BIZ-WORLD di Kuching, hari ini.

"Saya dengan suka cita memaklumkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah APFF pada 2024. Acara dianjurkan setiap tahun oleh Persekutuan Penerbit Wayang Gambar Asia-Pasifik (FDA).

"Berita ini disahkan Pansha yang juga Setiausaha General FPA dan presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia. Pansha maklumkan kepada kami APFF dirancang dibuat di Miri. Butiran mengenainya akan dimaklumkan Pansha dan pasukannya," katanya.

Snowdan berkata mereka sememangnya sangat mengalu-alukan penganjuran itu dan berbesar hati menjadi tuan rumah acara yang membabitkan lebih 20 negara itu.

"Kami akan terima lebih ramai pelancong ke Sarawak. APFF merangkumi 22 negara termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan, dan New Zealand.

"Acara itu dianjurkan pakar profesional yang mengadakan Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA). Pansha juga mengakui sudah hadiri banyak festival dan paling terbaik pengurusannya di rantau ini adalah AIFFA di Kuching," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 8:19 PM