Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 secara rasmi bermula semalam di Kuching, Sarawak yang menghimpunkan penyertaan dari 10 buah negara rantau ini.

Pengarah Festival AIFFA 2023, Livan Tajang berkata, acara yang berlangsung hingga Jumaat itu bakal menjadi medan terbaik meraikan karya hebat Asean di samping mempromosikan Sarawak sebagai lokasi pelancongan menarik di Malaysia.

"Kami sangat teruja dengan kecemerlangan dan peningkatan kesemua filem yang disenarai pendek kali ini. Filem-filem kali ini pamerkan tema dan nuansa dengan keaslian tersendiri. Karya-karyanya berkualiti.

"Kami sangat berbangga dengan penganjuran AIFFA di Sarawak sekali lagi kali ini. Keindahan dan kekayaan budayanya menjadikan lokasi edisi keenam acara ini cukup sempurna," katanya.

Pembukaan acara itu dirasmikan Menteri di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, AIFFA sememangnya acara yang begitu berprestij lantaran ia mendapat penyertaan penggiat profesional dalam industri perfileman sekitar Asean.

"AIFFA sebuah festival filem yang meraikan semua penggiat industri perfileman untuk diiktiraf dan dihargai agar kita mampu sebaris dengan filem-filem di peringkat antarabangsa.

"Selain itu, ini juga peluang untuk kerajaan negeri mempromosi pelancongan Sarawak yang terkenal dengan hutan hujan yang subur, tradisi yang meriah dan layanan mesra.

"Sarawak adalah lokasi unik untuk meraikan bukan saja karya cemerlang tetapi juga lokasi budaya yang kaya di rantau Asia Tenggara terutamanya sempena sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak" katanya.

Pada acara pembukaan itu, turut diumumkan calon-calon bagi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pengarah Sinematografi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

AIFFA kali ini mendapat penyertaan 120 filem dan 34 daripadanya dari Malaysia. Semua filem ini dihasilkan dari tahun 2020 hingga 2022.

Majlis malam gala AIFFA akan berlangsung esok di mana menobatkan pemenang bagi Anugerah Filem Terbaik berprestij, Anugerah Inspirasi ASEAN dan Pencapaian Sepanjang Hayat.

Turut hadir pada malam itu nanti, ikon K-Pop dan bintang filem, Rain dari Korea Selatan yang juga bakal memeriahkan acara itu selain bertemu peminat di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 12:04 PM