Pelakon filem Barbarian Invasion, Bront Palarae.
Pelakon filem Barbarian Invasion, Bront Palarae.

Kuala Lumpur: Filem tempatan, Barbarian Invasion menempa dua kejayaan di malam kemuncak Anugerah & Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA 2023) yang berlangsung malam tadi.

Di acara yang berlangsung di Kuching, Sarawak itu, filem Barbarian Invasion berjaya membawa pulang dua trofi iaitu Filem Terbaik dan Skrip Terbaik.

Untuk kategori Filem Terbaik, Barbarian Invasion arahan, Chui Mui Tan berjaya mengalahkan enam filem lain iaitu Before, Now & Then (Indonesia), Ginhawa (Filipina), Prebet Sapu (Malaysia), Kargo (Filipina), Perjalanan Pertama (Malaysia dan Filipina) dan Duan Nago Bogho (Malaysia).

Kategori Skrip Terbaik pula menyaksikan filem itu mengetepikan empat filem lain iaitu Before, Now & Then (Indonesia), Brilliant Darkness (Vietnam), Angkas (Filipina) dan Ginhawa (Filipina).

Acara malam kemuncak itu juga turut menyaksikan kemenangan dua anak seni tempatan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Perjalanan Pertama, serta Hasnul Rahmat dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Jerangkung Dalam Almari.

AIFFA 2023 turut menobatkan beberapa pemenang dalam kategori lain iaitu Faces of Anne (Thailand) dalam kategori Suntingan Filem Terbaik, Roy Lolang menerusi filem The Woman Crowned with a Crescent Moon (Indonesia) dalam kategori Pengarah Sinematografi Terbaik, Kim B Ngo menerusi filem The Brilliant Darkness (Vietnam) dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Max Eigenmann menerusi filem Kargo (Filipina) dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Carlo Obispo menerusi filem The Baseball Player (Filipina) menerusi kategori Pengarah Terbaik.

Selain itu, beberapa pemenang lain dalam anugerah khas turut diberikan iaitu Anugerah Khas Juri kepada dua pemenang iaitu filem Before, Now & Then serta Fathers, Anugerah Semangat Asean pula dimenangi filem Duan Nago Bogho, Anugerah Ikon Semangat Asean dimenangi oleh Philip Cheah, Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman dinobatkan kepada pengarah berpengalaman, U-wei Saari dan Anugerah Inspirasi Asean diberikan kepada bintang K-pop, Rain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 1:06 PM